mcmc
Keusahawanan

Keusahawanan

21463256 513770385642377 1411106010006596181 n

 

 

 

 

Keropok Lemang

Jika sebut tentang lemang, pasti terbayang beras pulut yang dimasak di dalam buluh, malah merupakan makanan tradisional yang wajib dihidangkan setiap kali menjelang Perayaan Hari Raya Aidilfitri. Cara masakan dengan menggunakan buluh, beras pulut dan santan menyebabkan lemang bukanlah makanan yang mampu bertahan lama. Maka timbullah idea Norizan Ujang, pemilik produk makanan jenama Dizan untuk menghasilkan keropok lemang. Makanan ini bukan sahaja untuk dinikmati ketika musim perayaan tetapi sebagai juadah harian. 

 

Norizan turut memberitahu, idea ini tercetus apabila melihat anak muda masa kini yang lebih gemar makan makanan ringan berbanding makanan tradisional termasuk lemang. Pada mulanya, idea keropok lemang ini kedengaran agak pelik dan ramai yang tidak percaya jika dimaklumkan bahawa produk ini telah berada di pasaran sejak lima tahun lalu. Malah produk ini telah berjaya menembusi pasaran Singapura dan bakal ke Brunei dan London. Keropok lemang dijual dengan harga RM3.50 sekotak dengan enam jenis perisa iaitu asli, BBQ, black pepper, kari, tom yam dan ayam.

 

Selain itu, beliau turut mempelbagaikan produk dengan mengeluarkan lemang sejuk beku dengan harga RM12.00 dan RM13.00 untuk lemang pulut hitam. Menurut Norizan, lemangnya ini dibakar dengan menggunakan teknologi terbaru iaitu dengan menggunakan pembakar gas dan elektrik dengan menggantikan buluh kepada silinder tahan karat. Oleh itu hasil pengeluaran lemangnya lebih berlipat kali ganda dan dapat dimasak dengan lebih cepat. Norizan berkata, dalam masa sejam, dia dapat menghasilkan 25 batang lemang. Beliau turut bercadang untuk mengeluarkan lemangnya dalam kuantiti yang kecil supaya mudah untuk dipasarkan. Beliau juga ingin meluaskan perniagaannya dan membuka cawangan di Johor dan Kuala Lumpur, malah ingin memperbesarkan kedainya yang terletak di Simpang Pertang. Bagi orang ramai yang ingin merasa keropok lemang bolehlah mendapatkannya di Bazar Mare, Simpang Pertang, Jelebu.