Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor; Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka; Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagian daripada Negeri Sembilan; Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang; dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor.
Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding Negeri Sembilan yang asal. Keluasan Negeri Sembilan ialah kira-kira 6,657.09 km2 dan ia terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia. Ibu negerinya ialah Seremban dan Seri Menanti sebagai Bandar Diraja. Negeri Sembilan mempunyai lapan kawasan Parlimen, 36 kawasan Dewan Undangan Negeri dan tujuh daerah iaitu Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Rembau, Port Dickson dan Seremban. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 1,011,700 orang.
Menjadi Markas Komunis
Simpang Pertang, sebuah pekan yang aman dan dihuni oleh majoriti penduduknya berbangsa Cina diikuti kaum Melayu, India dan lain-lain. Namun di sebalik suasana yang damai, pernah berlaku satu titik hitam di Pekan Simpang Pertang. Suatu masa dahulu, Pekan Simpang Pertang pernah menjadi markas Komunis untuk menawan Tanah Melayu
Balai polis yang didiriKan di pekan ini masih kukuh berdiri sehingga ke hari ini. Bangunan balai polis ini menjadi monumen penting dan penduduk setempat dapat merasai sendiri bagaimana perajurit zaman dahulu mempertahankan Tanah Melayu dari jatuh ke tangan Komunis.
Menurut orang-orang tua di pekan ini, kawasan pekan Simpang Pertang diteroka pada awal abad ke-20. Pada ketika itu, kawasan pekan ini hanyalah hutan belantara pada awal penerokaan kawasan. Di sini berjalannya aktiviti pembalakan kerana kawasan hutannya yang kaya dengan hasil hutan seperti kayu balak. Namun pada tahun 1949, sebuah kawasan dibuka untuk tanaman getah. Bermula daripada kegiatan tersebut, lima buah kedai mula didirikan di samping 10 buah rumah untuk pekerja ladang getah tersebut.